Thursday 4 January 2018

TIDUR

Maria terbaring lesu di atas lantai di sudut ruangan bacaan murid. Jauh dia mengelamun memikirkan berbagai perkara yang akhir-akhir ini memenuhi kotak minda.

Sekali sekala terdengar bunyi enjin motor yang sedang lalu lalang di lorong jalan kampung bersebelahan dengan tadika tempat Maria berkhidmat. Dia cuba memejamkan matanya berkali-kali. Cuba untuk menghalau semua persoalan yang bertamu tanpa diundang. Dia sendiri letih melayan berbagai persoalan yang tidak jemu-jemu menjengah fikiran. Fikirnya, tidur saja yang mampu memberi kerehatan yang terbaik.

Tiba-tiba, ada satu bunyi menyapa cuping telinga Maria. Dia cuba memfokuskan kepekaan telinga terhadap bunyi tersebut. Suara itu datangnya dari arah ruang tamu. Sangkaan Maria tepat. Maria bingkas bangun lalu mendekati bunyi tersebut. Dilihatnya semua murid masih terbaring di atas tilam masing masing. Maka bunyi sendu tangisan tadi itu milik siapa?

Didekatinya setiap murid. Semakin dia menghampiri bunyi tersebut, semakin perlahan suara itu didengari.

'Ah! Kamu Umar..? Umar menangis...?’ Monolog Maria di dalam hati.

Kelihatan seorang anak murid tadika bernama Umar sedang mengesat air mata yang mengalir di pipi. Maria membongkokkan badannya sedikit supaya dapat melihat wajah Umar yang ditutupi dengan lengan tangan.

"Umar kenapa menangis? Sakit..? Siapa pukul Umar? Harith pukul Umar?"

Soalan Maria bertubi-tubi sambil tangan dan matanya laju menular ke bahagian kaki dan tangan Umar demi memastikan anak muridnya itu dalam keadaan selamat. 

Dilihatnya ke arah Harith iaitu anak murid tadika yang sedang larut dibuai mimpi bersebelahan Umar. Di dalam hati Maria, dia menafikan kalau Umar ini disakiti oleh Harith yang sedang nyenyak tidur. Umar masih mendiamkan diri. 

"Umar kenapa menangis ni? Umar sakit? Beritahu pada cikgu."

Umar hanya menggelengkan kepala ke kanan dan ke kiri. Maria sedikit lega apabila dia menangis bukan kerana sakit. Maria kembali bangun dari bongkoknya tadi lalu beredar meninggalkan ruangan tidur anak anak murid tadika itu. Dia fikir, mungkin Umar menangis kerana mimpi yang menakutkan. Mana lah tahu, budak budak kan kuat berimaginasi. Dia cuba menenangkan diri.

Dia terduduk di atas kerusi berhampiran almari buku murid. 

30 minit kemudian, Maria memanggil nama setiap anak-anak murid dengan suara yang lantang agar semuanya bingkas bangun untuk sesi makan petang.

Dilihatnya Umar yang tadi menangis kini sudah ceria. Budak berusia 5 tahun itu manis sungguh air mukanya, biarpun berkulit gelap tetapi manis senyumannya.  Dipandangnya wajah Umar dari jauh lalu memanggil anak kecil itu menghampirinya. 

"Umar, Umar kenapa menangis tadi? Umar mimpi yang bukan bukan ya? Haa, beritahu pada cikgu."

Umar masih lagi dengan gaya yang sama, menggeleng kepala.

Maria menarik tubuh Umar yang kecil itu lalu dirangkul bahu anak itu sambil mengusap-usap rambutnya yang hitam pekat.

"Umar kenapa? Beritahulah pada cikgu. Kalau Umar malu pada kawan kawan, okay bisikkan di telinga cikgu."

Ujar Maria sambil mendekatkan telinganya ke bibir Umar.

"Cikgu...."

Umar sudah mula bersuara.

"Hmm?" Maria meminta Umar meneruskan bicara.

"Cikgu, saya tak suka tidur. Tapi cikgu suruh kami semua tidur juga dari pukul 2 petang sampai pukul 4 petang. Saya tak boleh tidur. Saya tak suka tidur!"

Maria tergamam mendengar luahan hati si kecil Umar. Kemudian dia terketawa sendiri.

'Lucu benar Umar ini.' Bisik hati Maria.

"Oh iya..? Umar tak suka tidur? Jadi sebab tu Umar menangis. Hmm, tapi semua kawan kawan Umar tidur kan. Jadi Umar kena tidur juga."

Kawan kawanya yang terdengar perbualan mereka ketawa geli hati.

"Cikgu, saya ada banyak benda nak buat. Saya ada banyak benda nak main. Tapi bila cikgu suruh saya tidur juga, saya tak boleh buat apa yang saya nak. Lama pula tu cikgu suruh Umar tidur. Biarlah kawan kawan saya nak tidur. Tapi saya taknak. Saya ada banyak benda nak dibuat. Buang masa saya je bila tidur lama."

Sambung umar panjang lebar.
Sekali lagi Maria terkedu.

"Okay Umar. Cikgu faham. Cikgu minta maaf, cikgu sayang Umar."

Maria mecium pipi Umar yang mulus itu berkali-kali sambil memeluk tubuhnya dengan erat. Lalu dilepaskannya untuk makan bersama kawan kawan yang lain.

Di dalam hati Maria, alangkah indahnya jika dia mempunyai cita cita dan semangat setinggi Umar. Masa muda ini sangat berharga untuk dimanfaatkan daripada diisi dengan tidur siang yang panjang.

Begitulah kita yang sudah dewasa, angan-angan dan cita cita semua dibiarkan lekas  luput dek tekanan yang menekan kehidupan lalu membenarkan diri untuk menjadi manusia yang cintakan kerehatan daripada bekerja.

Kerehatan menjadi matlamat utama dalam melakukan sesuatu kerja sehingga apabila masa tidur perlu dikorbankan, ia menjadi isu besar di dalam hidup kita.



No comments:

Post a Comment