Thursday 4 January 2018

TIDUR

Maria terbaring lesu di atas lantai di sudut ruangan bacaan murid. Jauh dia mengelamun memikirkan berbagai perkara yang akhir-akhir ini memenuhi kotak minda.

Sekali sekala terdengar bunyi enjin motor yang sedang lalu lalang di lorong jalan kampung bersebelahan dengan tadika tempat Maria berkhidmat. Dia cuba memejamkan matanya berkali-kali. Cuba untuk menghalau semua persoalan yang bertamu tanpa diundang. Dia sendiri letih melayan berbagai persoalan yang tidak jemu-jemu menjengah fikiran. Fikirnya, tidur saja yang mampu memberi kerehatan yang terbaik.

Tiba-tiba, ada satu bunyi menyapa cuping telinga Maria. Dia cuba memfokuskan kepekaan telinga terhadap bunyi tersebut. Suara itu datangnya dari arah ruang tamu. Sangkaan Maria tepat. Maria bingkas bangun lalu mendekati bunyi tersebut. Dilihatnya semua murid masih terbaring di atas tilam masing masing. Maka bunyi sendu tangisan tadi itu milik siapa?

Didekatinya setiap murid. Semakin dia menghampiri bunyi tersebut, semakin perlahan suara itu didengari.

'Ah! Kamu Umar..? Umar menangis...?’ Monolog Maria di dalam hati.

Kelihatan seorang anak murid tadika bernama Umar sedang mengesat air mata yang mengalir di pipi. Maria membongkokkan badannya sedikit supaya dapat melihat wajah Umar yang ditutupi dengan lengan tangan.

"Umar kenapa menangis? Sakit..? Siapa pukul Umar? Harith pukul Umar?"

Soalan Maria bertubi-tubi sambil tangan dan matanya laju menular ke bahagian kaki dan tangan Umar demi memastikan anak muridnya itu dalam keadaan selamat. 

Dilihatnya ke arah Harith iaitu anak murid tadika yang sedang larut dibuai mimpi bersebelahan Umar. Di dalam hati Maria, dia menafikan kalau Umar ini disakiti oleh Harith yang sedang nyenyak tidur. Umar masih mendiamkan diri. 

"Umar kenapa menangis ni? Umar sakit? Beritahu pada cikgu."

Umar hanya menggelengkan kepala ke kanan dan ke kiri. Maria sedikit lega apabila dia menangis bukan kerana sakit. Maria kembali bangun dari bongkoknya tadi lalu beredar meninggalkan ruangan tidur anak anak murid tadika itu. Dia fikir, mungkin Umar menangis kerana mimpi yang menakutkan. Mana lah tahu, budak budak kan kuat berimaginasi. Dia cuba menenangkan diri.

Dia terduduk di atas kerusi berhampiran almari buku murid. 

30 minit kemudian, Maria memanggil nama setiap anak-anak murid dengan suara yang lantang agar semuanya bingkas bangun untuk sesi makan petang.

Dilihatnya Umar yang tadi menangis kini sudah ceria. Budak berusia 5 tahun itu manis sungguh air mukanya, biarpun berkulit gelap tetapi manis senyumannya.  Dipandangnya wajah Umar dari jauh lalu memanggil anak kecil itu menghampirinya. 

"Umar, Umar kenapa menangis tadi? Umar mimpi yang bukan bukan ya? Haa, beritahu pada cikgu."

Umar masih lagi dengan gaya yang sama, menggeleng kepala.

Maria menarik tubuh Umar yang kecil itu lalu dirangkul bahu anak itu sambil mengusap-usap rambutnya yang hitam pekat.

"Umar kenapa? Beritahulah pada cikgu. Kalau Umar malu pada kawan kawan, okay bisikkan di telinga cikgu."

Ujar Maria sambil mendekatkan telinganya ke bibir Umar.

"Cikgu...."

Umar sudah mula bersuara.

"Hmm?" Maria meminta Umar meneruskan bicara.

"Cikgu, saya tak suka tidur. Tapi cikgu suruh kami semua tidur juga dari pukul 2 petang sampai pukul 4 petang. Saya tak boleh tidur. Saya tak suka tidur!"

Maria tergamam mendengar luahan hati si kecil Umar. Kemudian dia terketawa sendiri.

'Lucu benar Umar ini.' Bisik hati Maria.

"Oh iya..? Umar tak suka tidur? Jadi sebab tu Umar menangis. Hmm, tapi semua kawan kawan Umar tidur kan. Jadi Umar kena tidur juga."

Kawan kawanya yang terdengar perbualan mereka ketawa geli hati.

"Cikgu, saya ada banyak benda nak buat. Saya ada banyak benda nak main. Tapi bila cikgu suruh saya tidur juga, saya tak boleh buat apa yang saya nak. Lama pula tu cikgu suruh Umar tidur. Biarlah kawan kawan saya nak tidur. Tapi saya taknak. Saya ada banyak benda nak dibuat. Buang masa saya je bila tidur lama."

Sambung umar panjang lebar.
Sekali lagi Maria terkedu.

"Okay Umar. Cikgu faham. Cikgu minta maaf, cikgu sayang Umar."

Maria mecium pipi Umar yang mulus itu berkali-kali sambil memeluk tubuhnya dengan erat. Lalu dilepaskannya untuk makan bersama kawan kawan yang lain.

Di dalam hati Maria, alangkah indahnya jika dia mempunyai cita cita dan semangat setinggi Umar. Masa muda ini sangat berharga untuk dimanfaatkan daripada diisi dengan tidur siang yang panjang.

Begitulah kita yang sudah dewasa, angan-angan dan cita cita semua dibiarkan lekas  luput dek tekanan yang menekan kehidupan lalu membenarkan diri untuk menjadi manusia yang cintakan kerehatan daripada bekerja.

Kerehatan menjadi matlamat utama dalam melakukan sesuatu kerja sehingga apabila masa tidur perlu dikorbankan, ia menjadi isu besar di dalam hidup kita.



Cuma untuk kamu, iJDK2017!



Aku tak pasti. Keliru.
Masih meragui.

Aku belum pasti adakah menjadi salah seorang tenaga kerja di iJDK Wilayah tengah bagi 2017 ini, adalah suatu keputusan yang tepat dan matang ataupun yang paling memberi penyesalan selama aku hidup 22 tahun 1 bulan ini.

Buat throwback tentang macamana boleh turut berkhidmat itu dah cliché.
Kerana yang luar biasa itu adalah apabila setiap butir perkataan dalam setiap baris penulisan kita berupaya membina dan menggetarkan jiwa dan peribadi pembaca!

Emm, siapa yang ada di belakang aku untuk sambut benda-benda yang aku nak campak? Aku tidak memerlukan jejaka yang sudi berdiri belakang aku untuk sambut benda-benda yang ingin dicampak. Aku mencari yang berani berdiri di hadapan aku supaya nanti kalau aku terjatuh, aku boleh tarik kolar baju dia. Jatuh sama-sama. Eh? Tiba tiba sangat ni.
---------------------
Dear graduan iJDK2017,

Tercapainya definisi kejayaan sesebuah kilang pengeluaran kasut adalah apabila kasut-kasut yang dihasilkan seiring dan serupa dengan acuan dan reka bentuk yang ditetapkan oleh kilang. Rupa sama. Reka bentuk pada setiap inchi kasutnya pula tepat. Warnanya juga sama. Maka, itulah bukti kejayaan kilang kasut tersebut. Itu baru pada sudut pengeluaran. Belum lagi pada sudut keuntungan kilang.

Walaupun kilang itu mempunyai aset tetap berjenama dan mahal sebagai contoh bangunan kilang itu sendiri sudah mengghairahkan, ditambah pula dengan mesin-mesin peralatan pemprosesan kasut itu diimport jauh dari Jepun, namun jika ia tidak berjaya menghasilkan kasut seperti yang telah direka oleh designer yang diupah oleh kilang, maka ianya boleh dianggap sebagai gagal. Bukan setakat gagal, malah rugi. Kilang kasut tersebut mengalami kerugian kerana setiap aset yang dibelanjakan, tenaga pekerja yang bekerja, elektrik, dan kos bahan mentah (getah) semuanya berkos!

Tetapi tidak mengapa. Kerana aku yakin bahawa rata-rata businessman yang aku kenali, mereka adalah manusia yang tidak pernah memahami erti putus asa. Perkataan putus asa, putus harapan, mahupun kecewa, semua ini tidak diukir di dalam kamus kehidupan mereka secara kekal. Semua perasaan itu tadi hanya datang dan bertandang ke jiwa mereka lalu pergi mengundur diri tanpa meninggalkan sebarang kesan.

Anggap sahaja seperti lalat yang melilau-lilau lalu menghinggap ke atas lantai yang kotor dan berbau. Apabila lantai itu dibersihkan dan ditonyoh dengan sabun ‘Ajax’, nyah semuanya terbang pergi. Ini dapur rumah aku sebenarnya. Haha.

Begitu juga dengan program iJDK 2017 ini. Definisi kejayaan iJDK 2017 yang sebenar ialah apabila peserta iJDK 2017 yang memegang posisi sebagai objek program ini merasai kelainan yang luar biasa terhadap proses yang dilalui sepanjang program berlangsung. Program yang dijalankan semuanya mengetuk pintu hati. Semuanya menggetarkan hati. Semuanya membuatkan peserta kembali ke dunia realiti.

Tidak berhenti setakat itu sahaja, revolusi diri setelah tamat program itu yang jauh lebih logik dan tepat untuk menjadi kayu ukur kejayaan iJDK 2017. Revolusi dalam aspek akhlaq dan ibadah. Sedikit demi sedikit berusaha untuk meningkatkan diri.

Lebih hebat lagi apabila graduan iJDK 2017 ini berjaya mempunyai cara berfikir yang tajam dan benar. Walau apapun anasir anasir yang bertentangan dengan cara hidup seorang Muslim, semuanya berjaya ditapis dengan penapis fikiran yang sahih.

By the way, kenapa mesti guna perkataan ‘proses’? Kenapa tak guna saja perkataan ‘program’ dari awal sampai habis dalam penulisan? Kerana, tidak pernah wujud di dalam kotak minda barisan Ahli Jawatan Kuasa iJDK 2017 untuk melaksanakan sebuah program selain daripada untuk membina iman para peserta. Kata Cg Azmi Bahari iaitu seorang murabbi di MATRI,
“Beriman ini bukan satu destinasi. Ianya adalah suatu proses. Selama-lamanya kita perlu duduk di dalam tarbiyah kerana ianya memproses iman.”

Walaupun tempat program hebat dengan berhawa dingin, ada town trekking, ada Secret Recipe Indulgence and Black forest lagi tu, ada War Game, ada air terjun, ada flying fox, ada pantai laut, siap makan tempoyak lagi setiap hari, durian lagi. Tetapi kalau proses tarbiyah ruhiyah (didikan ruh) dan tarbiyah akhlaqiyah (didikan akhlaq) tidak berlaku malah tidak dirasai oleh para peserta secara menyeluruh, maka seluruh iJDK 2017 adalah tidak berjaya. Ianya boleh dianggap sebagai RUGI. 

Kerana setiap peserta yang hadir datang berbayar RM550, tenaga fasilitator yang ada menghabiskan masa cuti semester, urusetia yang meninggalkan anak anak dan isteri/suami di rumah, kos makan minum program, kos ubat-ubatan, hadiah cenderahati, dan sebagainya semuanya berada di dalam aliran keluaran. Keluaran wang ringgit, masa dan tenaga. Semuanya mengalir keluar tanpa menghirup keuntungan SETEGUK pun.

Walaupun tempat program ada kekurangan, kurang bersih, ada banyak tebuan ehem, tilam berhama, tetapi kalau proses tarbiyah ruhiyah (didikan ruh) dan tarbiyah akhlaqiyah (didikan akhlaq) ini berlaku malah dirasai oleh para peserta sehingga anjakan paradigma para peserta itu dirasai oleh ibu bapa mereka, maka seluruh iJDK 2017 adalah berjaya.

Tapi apapun, aku suka petik kata-kata Timbalan Pengurus iJDK2017 iaitu Kak Syamimi, sewaktu aku mengomel tentang tempat yang kurang kelengkapan dan bersih,
“Iya memang banyak kekurangan tempat ni. Tapi pada akak, ini adalah cabaran. Bukan masalah.”

Aku tahu dia seorang yang BERJIWA BESAR. Kerana hanya orang yang berjiwa besar sahaja yang MAMPU menuturkan bicara ini. Aku tahu, jauh di sudut hatinya pasti dia juga merasakan perkara yang sama seperti aku. Tetapi, apa boleh buat. Kita memang sudah ada di sana dan apa yang kita boleh lakukan ialah ‘harung’. Harung saja. Selepas program tamat boleh dibincangkan dan ditambah baik. Tiada guna banyak mengaduh sana sini dan complain itu ini sewaktu program berlangsung kalau tidak ada jalan penyelesaian yang disuakan.

Okay back to the ultimate point,
Maka sekarang ini, yang menentukan kejayaan iJDK 2017 adalah ANDA!
Anda peserta iJDK 2017 yang SEDANG membaca.

Saat ini, detik ini, aku tidak lagi keliru. Tidak lagi meragui. Kerana jawapan kepada persoalan sama ada menjadi salah seorang tenaga kerja di iJDK bagi 2017 ini, adalah suatu keputusan yang tepat dan matang ataupun yang paling memberi penyesalan selama aku hidup 22 tahun 1 bulan ini bakal terjawab.

Ianya akan menjadi keputusan yang tepat dan matang sekiranya jawapan ANDA adalah
‘Iya, setelah pulang dari iJDK 2017, aku bukan lagi aku yang dulu. Aku yang sekarang adalah aku yang bersegera dalam mendirikan kewajipan aku sebagai hamba kepada Sang Pencipta. Aku bersegera mendirikan solat. Dan aku bukan lagi menjadi seperti lembu yang dicucuk hidung, iaitu apabila diajak untuk bermaksiat, aku turut serta. Aku selamanya adalah diri aku. Aku tahu siapa diri aku. Aku kenal siapa diri aku, aku berani dengan diriku sendiri. Kerana selama-lamanya aku hanya sanya hamba kepada Allah yang menyarungi jiwa seorang muslim sejati. Yang tidak takut dihina dicela oleh manusia’.

Tetapi jika di dalam hati peserta ramai yang menjawab,
‘Tak. Aku tak rasa apa-apa pun. Aku tak dapat apa pun’.

Maka, iJDK2017 kali ini belum berjaya.

Tetapi tak mengapa. Kalau tadi, jiwa seorang businessman tidak pernah kenal erti putus asa, kali ini jiwa da’i tidak pernah kenal erti menyerah kalah. Maka, kalau belum berjaya kali ini, kita masih punya 1001 harapan demi harapan yang menanti untuk direalisasikan!

Jawapan di tangan ANDA. Yes, the one who is reading this coffee talk level mahasiswa.
Yeah!

p/s: Maaf andai penulisan ini ada tersalah bicara, sedang sibuk membuat katil pallet di rumah, teringatkan kalian peserta iJDK W.T, maka aku segera berhenti menukang kayu lalu membuka laptop dan terus menaip surat cinta ini. Okay, kawal sikit air mata tu adik-adik, jangan terharu sangat. Haha.

Jumpa di HiMEGA 2018, ya!

Yang merindui adik-adik iJDK 2017,
Nabihah Nawawi,
Urusetia iJDK Wilayah Tengah 2017,
Pelajar Tahun 4,
Undang-Undang Sivil & Syariah UIAM.